Bukan sekadar blog

Politik

Nasib Anwar buat keluarga terkenang kisah Nabi Yusuf

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah menyifatkan nasib dialami bapanya mengingatkan mereka kepada kisah Nabi Yusuf yang ditimpa fitnah seperti diceritakan dalam al-Quran.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan terbaru pengadu dalam kes liwat kali kedua, Mohd Saiful Bukhari Azlan, semalam yang mendakwa didatangi kenalan rapat bekas ketua pembangkang itu.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai satu lagi fitnah, Izzah yang juga naib presiden PKR berkata keluarganya telah banyak menderita kerana kes tersebut.

“Jelas Saiful memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kami sekeluarga menderita dengan tindakan itu. Dalam al-Quran ada dijelas bagaimana Nabi Yusuf meminta baginda dibersihkan daripada tuduhan fitnah.

“Justeru Anwar wajar dibebaskan dan dibersihkan daripada fitnah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Semalam Saiful mendakwa didatangi seorang kenalan rapat Anwar yang meminta beliau memohon pengampunan diraja bagi pihak bekas majikannya itu tanpa menukar pengakuan diliwat.

Loading...

Saiful, 31 dalam tulisan di Facebooknya mendakwa individu itu turut memohon supaya beliau memaafkan Anwar yang dikatakan kini ‘mungkin sudah insaf atas perbuatannya’.

Saiful juga mendakwa individu itu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan pengampunan kepada Anwar berdasarkan peruntukan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tulisan itu, Saiful bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan.

“Apa pun di sudut hati saya terdetik juga, sama ada niat beliau benar-benar ikhlas atau sekadar demi melayakkan Anwar bertanding pada PRU nanti,” kata Saiful.

Anwar, 70, menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Beliau bagaimanapun secara konsisten menafikan dakwaan itu dan mendakwa menjadi mangsa konspirasi politik.

Loading...

Leave a Reply