Bukan sekadar blog

Berita Utama

Muntah dan tarik nafas panjang, lelaki meninggal ketika main badminton

“DIA nampak sihat saja pada hari kejadian dan bersemangat hendak bermain badminton namun tak sangka pula dia pergi buat selama-lamanya,” kata Muhammad Fitri Ismail, 22, rakan kepada pelajar yang meninggal dunia ketika bermain badminton, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, Mohd Amirul Ikromi Mohd Asri, 23, meninggal dunia ketika bermain badminton bersama rakannya di sebuah dewan di Pekan Jitra 2, Jitra.

Mangsa dikatakan muntah dan tidak sedarkan diri ketika bermain badminton dengan rakannya.

Muhamad berkata, pada malam kejadian dia tidak bersama dengan arwah kerana mempunyai urusan dan hanya sempat bertemu arwah pada jam 4 petang Sabtu lalu.

Katanya, arwah memberitahu hendak bermain badminton pada malam kejadian dan turut mengajaknya bermain bersama.

“Namun saya beritahu dia yang saya ada hal dan kami tak sembang banyak sebelum saya pulang ke rumah sewa.

“Namun saya terkejut apabila salah seorang rakan memberitahu arwah dah meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam dan saya amat terkejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa yang menetap di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, Air Hitam, dekat sini adalah pelajar semester enam di institut perguruan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihak Hospital Jitra (Unit Kecemasan) menghubungi bilik kawalan Balai Polis Jitra dan mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.45 malam.

Beliau berkata, anggotanya kemudian pergi ke tempat kejadian dan hasil temubual saksi serta pemeriksaan fizikal si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat Sindrom Koroner Akut (Acute Coronary Syndrome),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, sepanjang bedah siasat dilakukan, tiada sebarang kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah ditemui.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Loading...

Leave a Reply