Bukan sekadar blog

Berita Utama

Muhyiddin dilantik dengan telus dan seadilnya – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Titah Seri Paduka, sejurus selepas peletakkan jawatan Dr Mahathir Mohamad, baginda telah mengadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen pada 25 dan 26 Februari.

Memperjelas rentetan kemelut politik negara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pelantikan perdana menteri kelapan dibuat selepas parti-parti politik diberi masa yang mencukupi untuk membuat perhitungan secara demokrasi bagi menamakan calon masing-masing.

“Sekitar jam 5 petang pada 24 Februari, beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam pertemuan itu, beta telah meminta Tun Dr Mahathir untuk tidak meletak jawatan (sebagai perdana menteri). Namun beliau tetap dengan keputusannya,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan mesyuarat parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menegaskan bahawa krisis politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan, Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda bertanggungjawab melantik seorang perdana menteri yang baru seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan perlembagaan persekutuan, beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan demikian selayaknya dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

“Sesungguhnya Beta telah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita,” titah Seri Paduka.

Sidang Parlimen ini adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas pertukaran kerajaan.

Naratif landskap politik negara telah digegarkan dengan peletakan jawatan perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan tindakan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas tidak sampai dua tahun mentadbir Putrajaya.

Pada titahnya, hari ini, Al-Sultan Abdullah turut menasihati kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin agar melaksanakan amanah yang diberi dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sesekali mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Kepada kerajaan beta di bawah kepimpinan memanda perdana menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, Beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

“Nasihat beta, laksanakan lah amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab, serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata,” titah Seri Paduka.

Mengenai perpaduan masyarakat majmuk negara ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan mengenai polarisasi kaum yang masih wujud dan mahu semua kaum menunjukkan sikap dan teladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan.

Titah Seri Paduka, sebarang bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang negara biarpun dilakukan hanya segelintir pihak perlu dibendung sebelum merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara.

“Beta menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinisip Rukun Negara.”

Al-Sultan Abdullah menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahankan dan pada masa sama penganut agama lain bebas mengamalkan hak-hak dan agama mereka secara berhemah dan aman.

Loading...

Leave a Reply