Bukan sekadar blog

Berita Utama

MPKK perlu telus agih dana raya

SETIU – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dinasihatkan agar bersikap telus dan berlapang dada dalam mengagihkan borang permohonan Dana Raya kepada penerima yang betul-betul layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kebijaksanaan MPKK dalam menguruskan hal itu amat ditagih berikutan kuota Dana Raya yang terhad iaitu sebanyak 2,500 penerima di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, sikap bertolak ansur dan cermat dalam mengagihkan kuota jumlah penerima bagi setiap kampung akan dicapai melalui perbincangan secara penuh kematangan dan semangat berjemaah.

“Di Jabi ada 37 MPKK dengan saiz kampung yang berbeza. Kampung besar mempunyai lebih 300 buah rumah sementara kampung kecil mengandungi sekitar 30 buah rumah. Majoriti kampung memiliki antara 150 hingga 250 buah rumah.

“Kampung paling besar mendapat sekitar 90 orang lebih kuota sementara yang paling sedikit mendapat sekitar 40 orang kuota. Alhamdulillah, semua MPKK berlapang dada,” katanya lagi menerusi catatan di Facebook rasminya, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, walaupun keputusan yang dicapai hasil perbincangan bersama, pastinya ia tidak dapat memuaskan hati semua orang.

Namun, bebanan tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama tanpa menuding jari antara satu sama lain demi kepentingan rakyat dan juga kemakmuran negeri.

“Dengan jumlah kuota yang ada, setiap MPKK bermesyuarat menentukan siapakah penerima yang lebih layak di kalangan yang layak.

“Pemilihan dibuat secara mesyuarat. Bukan keputusan Pengerusi MPKK seorang diri. Jadi, beban tanggungjawab dari keputusan ini haruslah dipikul bersama.

“Begini cara kita di Jabi. Sedikit sama dirasa, berat sama dipikul. Saya sangat yakin pada setiap kesukaran itu akan ada kelapangan,” tambah beliau lagi.

Sumber: Teganukita

Loading...

Leave a Reply