Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Hiburan

Michael Ang tidak sabar tunai solat Jumaat di masjid buat kali pertama

KUALA LUMPUR – Kesempatan untuk menunaikan solat Jumaat buat pertama kali di masjid pada Jumaat ini merupakan perkara utama yang ingin dilakukan pengarah dan penerbit Michael Ang selepas membuat pengumuman sudah memeluk Islam sejak lebih setahun lalu.

Kata Michael yang masih mengekalkan nama asalnya Michael Ang Hai Swee, sejak memeluk Islam pada Februari tahun lalu, dia hanya menunaikan solat Jumaat di rumah kerana ketika itu status agamanya belum diketahui umum.

“Alhamdulillah, sekarang saya rasa sangat lega kerana sudah boleh jawab salam daripada semua orang. Malah saya juga sudah boleh jadi diri sendiri dan tiada apa ingin disorokkan lagi.

“Tahun ini adalah kali kedua saya menyambut bulan Ramadan tetapi ia memberi lebih makna kepada saya. Sebab saya boleh jalani hidup seperti seorang Muslim seperti orang lain.

“Perkara paling penting yang saya tidak sabar untuk lakukan adalah menunaikan solat Jumaat di masjid. Rakan pelakon Alif Satar juga sudah berjanji untuk solat bersama-sama pada Jumaat ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana program Ramadan Astro di Astro, Bukit Jalil sebentar tadi.

Ketika ditanya tentang alasan dirinya menyimpan rahsia itu selama lebih setahun, Michael mengakui sangat bimbang dengan penerimaan masyarakat terutama netizen di laman sosial.

Hal ini kerana sebelum ini dia pernah dikecam hebat kerana dianggap tidak layak memberikan komen tentang tindakan pelakon Emma Maembong membuka tudung dan isu video kontroversi kelab malam membabitkan bekas pemenang Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee.

“Sejujurnya saya tiada niat untuk sorokkan pun. Saya tidak mahu membesarkan hal ini kerana bimbang akan dikecam. Dulu netizen pertikaikan kenapa saya banyak sentuh soal agama dalam beberapa isu membabitkan beberapa orang artis.

“Tetapi selepas kad agama saya tersebar, mahu atau tidak saya perlu mengaku. Tidak sangka komen yang saya terima selepas membuat pendedahan ini semuanya positif. Saya bersyukur dan sangat menghargainya. Cuma hanya satu permintaan daripada saya. Kalau ada salah silap, mohon tunjuk ajar sebab saya budak baru belajar untuk mengenal Islam,” katanya.

Terdahulu menerusi Instagramnya petang tadi, Michael membuat pengumuman sudah pun bergelar seorang Muslim sejak lebih setahun lalu.

Michael mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Sheikh Hussain Yee dan Ustaz Firdaus Wong. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén