Bukan sekadar blog

Berita Utama

Menyamar Sultan Melaka, mahkamah bebaskan Noor Jan Tuah

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Noor Jan Tuah, 61, yang dituduh menyamar sebagai ‘Sutlan Melaka’ hari ini dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan di sini.

Panel tiga Hakim Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam membuat keputusan tersebut ekoran tidak ada merit dalam rayuan.

“Rayuan ditolak, tidak ada merit dalam rayuan (pihak pendakwaan).

“Tidak boleh campur tangan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka dan Mahkamah Tinggi,” kata Yaacob ketika membacakan keputusan mahkamah.

Yaacob membuat keputusan itu bersama Dauk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadrariah Syed Ismail.

Di luar mahkamah, peguam bela Noor Jan, Datuk Shaharudin Ali berkata, Mahkamah Sesyen telah membuat satu dapatan undang-undang dan ia juga diakui oleh Mahkamah Tinggi bahawa fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwa adalah tidak benar.

Malah katanya, Nor Jan tidak pernah menggunakan gelaran ‘Sultan Melaka’ dalam mana-mana surat rasmi.

“Apa yang memeranjatkan dalam kes ini jarang kita dengar semua saksi pendakwa datang ke mahkamah dengan menyatakan mereka tidak ditipu.

“Jadi bagaimana kalau saksi sendiri mereka tidak ditipu dan pihak lain yang mengatakan mereka ditipu. Jadi itu yang saya rasa agak pelik kes ini.

“Ada dua tiga alasan yang telah kami kemukakan dan kami ambil kira hujah itu,” katanya kepada media.

Nor Jan berkata dirinya gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini.

“Terima kasih kepada para peguam yang arif tentang undang-undang dan juga melalui faktor sejarah yang benar. Terima kasih kepada Hakim Mahkamah Melaka, Mahkamah Seksyen, dan Mahkamah Rayuan Putrajaya. Terima kasih banyak,” kata Nor Jan.

Pada 3 Julai 2018, Nor Jan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Melaka daripada empat pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai ‘Sultan Melaka’ pada lima tahun lepas.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan terhadap Noor Jan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Noor Jan didakwa menipu empat lelaki berusia 37 hingga 68 tahun dengan jalan samaran supaya mempercayai dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’ apabila membuat majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai ‘Sultan Melaka’.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di A’ Famosa Resort Melaka, kira-kira pukul 10 malam pada 28 Disember 2013.

Noor Jan didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply