PETALING JAYA – Malaysia berpotensi menjadi hub coklat Asia pada masa depan bersandarkan perkembangan pemain industri produk berkenaan di negara ini yang semakin meluas dan berdaya maju.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, berkata pembukaan muzium coklat contohnya antara rujukan penting bahawa industri itu sebenarnya memiliki potensi dibangunkan, sekali gus mampu menjana pulangan ekonomi baharu buat negara.
Beliau berkata, perkembangan kepada industri hiliran yang berasaskan koko itu pada masa sama akan membantu petani koko mengupayakan hasilnya, disamping meningkatkan permintaan dalam pasaran tempatan.
“Sekarang ini kita hanya ada 17,000 hektar penanaman koko (di Malaysia). Untuk menampung permintaan muzium ini pun tidak cukup,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Muzium Coklat di Kota Damansara di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan DR Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Dahlan Rasaid dan Kumpulan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Arshad Desa.
Muzium yang mula beroperasi sejak 2013 dan melalui transformasi kini dikenali Muzium Coklat 2.0 awal tahun ini turut menempatkan kilang bagi penghasilan dan pembuatan makanan popular itu.
Beliau berkata, kementeriannya amat menyokong usaha memaju dan mengembangkan industri penjualan dan penghasilan coklat tempatan, memandangkan ia secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan kepada komoditi koko.
Katanya, pada masa ini, Malaysia menghadapi masalah bekalan koko yang semakin berkurangan, biarpun pada masa sama industri hiliran berkaitannya terus berkembang pesat.
“Kita tahu antara masalah (penanaman koko) adalah banyak penyakit koko. Untuk merawat pun susah sebab itu pengeluarannya berkurang,” katanya.
Namun beliau berkata, biarpun masalah itu berlaku, fokus untuk membangunkan industri hiliran berkaitan koko seperti coklat ini tidak seharusnya terhenti dan perlu diberi keutamaan.
“Saya tengok potensi industri coklat ini besar. Saya juga difahamkan akan ada satu lagi muzium coklat akan dibuka di Langkawi dan ia sangat menarik kerana di situ kawasan pelancongan.
“Ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia mampu mengeluarkan jenama coklat sendiri yang memiliki kualiti yang sama dengan jenama antarabangsa,” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan kerajaan sedia bekerjasama dengan pemain industri coklat tempatan untuk bersama membangunkan lagi industri ini dan menjadikan jenama coklat Malaysia antara yang terbaik di rantau ini.
“Bagi kementerian saya, kita akan terus bersama dengan syarikat yang terbabit dengan industri coklat dan satu hari Malaysia mampu menjadi hub coklat Asia. Kerajaan pastinya akan beri penekanan terhadap industri hiliran seperti ini,” katanya.
Leave a Reply