Bukan sekadar blog

Berita Utama

MCKIP angkat jenama Malaysia ke persada global

KUANTAN – Pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terletak di Gebeng di sini, mampu mengangkat jenama barangan buatan Malaysia ke persada antarabangsa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, berkata beliau dimaklumkan sekitar 85 hingga 90 peratus barangan yang dihasilkan di kawasan industri itu adalah berorientasikan eksport.

“Terdapat 11 kilang di sini dengan kilang terbesar ialah kilang besi dan keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd. Saya difahamkan kilang pembuatan kertas dan tayar yang kedua-duanya adalah 100 peratus untuk dieksport ke pasaran dunia telah menandatangani perjanjian untuk beroperasi di sini.

“Ini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan membolehkan pemindahan teknologi ke sini, selain mewujudkan satu rantaian bekalan industri yang sekali gus memacu perkembangan ekonomi di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatannya ke MCKIP hari ini, yang bertujuan mengetahui dengan lebih mendalam operasi taman industri itu yang turut disertai Menteri Kaunselor di Kedutaan China di Malaysia, Chen Chen.

Kor Ming berkata, MCKIP adalah lambang persahabatan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan model kerjasama itu berpaksikan kepada formula menang-menang kepada kedua-dua negara.

Alliance Steel juga menurutnya, adalah pelabur terbesar di MCKIP dan setakat ini, telah membawa masuk dana pelaburan berjumlah RM12 bilion dan lebih 3,000 daripada 5,000 pekerjanya adalah rakyat tempatan.

“Saya berharap agensi kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam perkembangan MCKIP kerana taman berkembarnya, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) di China adalah 10 kali ganda lebih besar dengan kewujudan 110 kilang,” katanya.

Kor Ming juga menyifatkan keputusan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga akan menjadi nilai tambah kepada MCKIP, selain turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek menaiktaraf dan mendalamkan Pelabuhan Kuantan.

Katanya, kedudukan Pelabuhan Kuantan yang strategik juga membolehkan bahan mentah dari China dibawa masuk ke negara ini dalam tempoh empat hari sahaja, yang menjadi daya penarik kepada pelabur.

-BERNAMA

Loading...

Leave a Reply