Bukan sekadar blog

Berita Utama

Mat Sabu enggan jawab isu abu mayat Chin Peng

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu enggan mengulas dakwaan abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dua bulan lalu.

“Minta KDN (Kementerian Dalam Negeri) siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya tindakan membawa balik abu mayat bekas pemimpin komunis itu mungkin mengguris hati anggota polis atau tentera.

Ia susulan laporan sebuah portal berita semalam, Chin Peng yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya “kembali ke rumah” pada 16 Sept lalu, iaitu selepas 6 tahun kematiannya.

Menurut kumpulan yang menguruskan perkara itu, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand 2 bulan lalu dan ditabur di laut serta hutan di sekitar tempat kelahirannya di Sitiawan, Perak.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata satu majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang diadakan sewaktu abu mayat itu tiba di Ipoh.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia dan KDN akan menyiasat kesahihan dakwaan itu.

Katanya, kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini seperti diputuskan sebelum ini.

Loading...

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut sependapat untuk KDN menyiasat dakwaan berkaitan abu mayat Chin Peng.

Mengenai dakwaan pembawa abu mayat itu yang percaya kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata, perkara itu melibatkan sensitiviti kedua-dua pihak.

“Jadi, kita fikirkan ada sensitiviti, ada juga jasa dan pengorbanan perwira dulu.

“Kita tengok bagaimana, bagi pada kementerian untuk menimbang apakah mereka menerima permohonan untuk membawa balik abu mayat Chin Peng,” katanya selepas merasmikan Persidangan Teknologi Pintar untuk Bandar Pintar 2019 di Shah Alam, hari ini.

Loading...

Leave a Reply