Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Mat rempit jatuh motosikal ketika lari dari JPJ

DUNGUN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menafikan dakwaan yang anggotanya melanggar seorang remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya dalam satu operasi di Kampung Seberang Pintasan di sini semalam.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin ketika dihubungi berkata, tindakan sesetengah individu yang menyebarkan berita palsu itu untuk menjatuhkan kredibiliti jabatan tersebut.

Menurut beliau, ketika kejadian, anggota unit penguasaan JPJ sedang melakukan rondaan di jambatan Kampung Seberang Pintasan dan anggotanya terserempak dengan remaja berumur lingkungan 20-an sedang menunggang laju motosikal jenis Yamaha RXZ dan secara berbahaya.

“Remaja terbabit telah melakukan pengubahsuaian motosikal secara haram dipercayai untuk berlumba dan anggota kami telah mengarahkannya berhenti di tepi jalan.

“Bagaimanapun remaja terbabit tidak memberikan kerjasama sebaliknya bertindak melarikan diri bersama motosikal tersebut,” katanya.

Tambah beliau, remaja terbabit telah melarikan diri ke Kampung Bijangga yang jaraknya sejauh kira-kira 1 kilometer dari jambatan tersebut.

“Anggota kami kemudiannya telah dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa mereka menemui motosikal terbabit dan ketika sampai remaja terbabit sudah melarikan diri,” jelas beliau.

Zulkarnain berkata, remaja terbabit kemungkinan telah terjatuh dari motosikalnya ketika cuba melarikan diri dan meninggalkan motosikal miliknya di kawasan tersebut.

Menurut beliau pihaknya telah menyita motosikal terbabit untuk siasatan lanjut dan satu laporan polis telah dibuat pada hari yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) berkenaan kejadian tersebut.

“Kita akan membuat siasatan lanjut terhadap motosikal tersebut dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén