Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Makcik Munah raih empat angka sebulan jual makanan ringan

KUALA NERUS – Selepas lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan pelbagai jenis produk makanan ringan termasuk jala emas, ternyata kini membawa rezeki yang lumayan buat Maimunah Yusof, 65.

Siapa sangka dengan berbekalkan kegigihannya, warga emas dibantu ahli keluarga itu kini boleh berbangga apabila produk jenama Mysisme keluarannya mendapat sambutan luar biasa.

Bukan sahaja mampu meraih pendapatan empat angka sebulan, tetapi produk makanan ringan yang diusahakan usahawan wanita dari Pulau Rusa ini sudah menjelajah ke luar negara termasuk Jepun.

Maimunah yang menghasilkan pelbagai jenis kerepek, buah rotan, jala emas dan kuih tradisional lain turut aktif menyertai ekspo anjuran pihak kerajaan yang diadakan di dalam mahu pun luar negeri.

“Saya selalu masuk ekspo-ekspo, jadi dari sinilah perniagaan pun berkembang dan pendapatan meningkat.

“Kejayaan juga adalah hasil bantuan banyak agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian,” katanya.

Maimunah berkata demikian ketika ditemui media di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 Zon Timur di dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini hari ini.

Maimunah menerima bantuan pelekat produk dari Mara, bantuan pelabelan dari YPU dan peruntukan kewangan membina bengkel serta bantuan peralatan dari Jabatan Pertanian dan bantuan mesin dari Fama.

Menurutnya, penganjuran KUD 2019 di Terengganu juga dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil sepertinya mempromosi produk jualan dan dalam masa sama dapat meraih pendapatan berganda.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén