Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Mahfuz rela digugurkan dari Kabinet jika itu kemahuan Mahathir

ALOR SETAR – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar bersedia untuk digugurkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melakukan rombakan Kabinet.

Katanya, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk berbuat demikian jika didapati seseorang menteri itu tidak berupaya melaksanakan tugas.

“Kalau Tun Mahathir menilai menteri itu ada kelemahan dan tak berupaya hendak baiki kelemahannya, maka itu hak beliau untuk rombak Kabinet.

“Saya tiada masalah pengguguran mana-mana nama atau dari parti mana hatta diri saya sendiri kalau itu pertimbangan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan makanan asas kepada 250 penerima daripada golongan kurang kemampuan di Masjid Titi Besi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yang mencadangkan menteri, menteri besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.

Menulis di blognya, Kadir berkata, tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka yang dilantik untuk mempelajari cara melaksanakan tugas untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berkata, kenyataan Kadir itu adalah hak kebebasan bersuara yang boleh dibuat sesiapa sahaja dan setiap menteri harus peka dengan setiap kritikan.

Katanya, menteri dan juga timbalan menteri harus memperbaiki setiap kelemahan dan perlu memastikan setiap tugas dapat dilaksanakan dengan baik.

“Semua menteri yang ada sekarang tidak boleh dakwa hebat walaupun Perdana Menteri berpuas hati dengan pencapaian barisan kabinetnya sebanyak 50 peratus dalam tempoh setahun pentadbiran PH.

“Sebagai timbalan menteri, saya sendiri tidak pernah berpuas hati dengan tugas yang saya laksanakan, tetapi dalam masa yang sama kita perlu terus baiki apa yang kurang,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén