Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

LPT3 tidak akan guna wang kerajaan Terengganu – MB

KUALA TERENGGANU – Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) di Terengganu tidak akan menggunakan wang kerajaan negeri, sebagaimana yang berlaku sewaktu pembinaan LPT2 dahulu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan LPT3 akan melibatkan kerajaan pusat seperti mana lazimnya pembinaan lebuh raya di negeri-negeri lain.

“LPT3 ini wajar diteruskan, malah saya sendiri ada sebut perkara ini kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bermesyuarat dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) satu ketika dahulu.

“LPT3 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio ekonomi di kawasan sekitar laluan lebuh raya tersebut. Namun, kita tidak akan menggunakan kaedah sama pembinaannya seperti LPT2 dahulu (menggunakan wang negeri),” katanya di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata ini kerana masih ada baki hutang LPT2 yang belum diselesaikan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dengan jumlah kira-kira RM1.3 bilion lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian bahawa tempoh masa pembinaan LPT3 hanya akan diketahui selepas beberapa perkara diputuskan, termasuk berkaitan model pelaksanaan dan peruntukan kewangan.

Cadangan jajaran LPT3 yang dipilih ialah dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 147 km yang membabitkan tiga daerah di Terengganu dan lima daerah di Kelantan.

Difahamkan, LPT2 dibina menggunakan wang kerajaan Terengganu RM1.85 bilion di mana sehingga kini bayaran yang telah diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk lebuh raya itu adalah sebanyak RM418.5 juta.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan dan Cenderahati kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

— BERNAMA

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén