Bukan sekadar blog

Jenayah

Lelaki dipenjara sebulan tikam punggung rakan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menikam punggung rakannya.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Al Muiizz Ali Hassan, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama abangnya, Mohd Al Basiri, 30, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Harif Awang, 38, atas bangkitan marah di Kampung Buluh Gading, Manir, di sini, pada jam 3 petang 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, Mohd Al Basiri mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan Mohd Al Basiri diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Loading...

Bagi kesalahan itu, Mohd Al Basiri berdepan hukuman penjara hingga satu bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, bapa mangsa yang berada di rumah di Kampung Buluh Gading, dimaklumkan anak lelakinya itu ditikam di bahagian punggung oleh dua rakan.

Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Kubang Jela, Manir, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Susulan laporan dibuat bapa mangsa di Balai Polis Manir, kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah rumah di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, kira-kira jam 2.30 petang 12 Mei lalu.

Loading...

Leave a Reply