Bukan sekadar blog

Jenayah

Lelaki didenda RM100,000 kendali klinik swasta tanpa daftar

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM100,000 terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah atas kesalahan mengendalikan klinik perubatan swasta, tanpa pendaftaran sah di premis kecantikan miliknya di Jalan Besar Sura Gate di Dungun, pada April 2017.

Hakim Azman Mustapha turut memerintahkan pemilik premis Raisya Medispa, Farabi Ahmad Mohd Amin, 31, dipenjara selama setahun sekiranya dia gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, Farabi Ahmad telah didapati menyediakan satu klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Loading...

Serbuan yang dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu pada 13 April 2017 mendapati premis Raisya Medispa di Lot PT 18092 (Tingkat 1), Jalan Besar Sura Gate di Dungun, menyediakan amalan perubatan estetik.

Ketika serbuan dibuat, Farabi Ahmad gagal mengemukakan perakuan pendaftaran klinik perubatan swasta bagi premis berkenaan, atau sijil kelayakan dia sebagai pengamal perubatan.

Farabi Ahmad didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a)(i) akta sama, dengan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli. Farabi Ahmad membayar denda berkenaan.

— BERNAMA

Loading...

Leave a Reply