Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Anda mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang’ – Luahan Chong Wei buat seluruh rakyat Malaysia

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyampaikan pesanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bermula hari ini.

Dalam satu hantaran di media sosial, Chong Wei berkongsi kisah lucu bagaimana beliau juga terjebak dengan pembelian panik di sebuah pasar raya dua hari lalu.

Kata Chong Wei, beliau terkejut melihat tisu tandas habis diborong pembeli.

“Time I sampai supermarket, aduhai! Ramainyer auntie dan makcik, macam lumba marathon trolly! Kalah Khairul (Hafiz) Jantan!

“Nasib baik sempat lagi kumpul shopping list wife. Tapi toilet paper I terlambat. Ternganga I tengok mamat depan I bungkus 10 beg tisu jamban!” tulis Chong Wei di akaun Instagram rasminya.

Beliau bagaimanapun bernasib baik apabila terserempak dengan seorang rakan yang menyerahkan salah satu bungkusan tisu tandas kepadanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu juga sempat menitipkan nasihat agar rakyat Malaysia tidak menganggap waktu 14 hari ini sebagai ‘cuti hari raya’.

“Kawan sekalian, saya berharap agar jangan cemas menghadapi krisis ini. Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya.

“Dan I minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ni. Jangan balik kampong macam cuti raya. Anda mungkin OK, tapi yang mati nanti orang tersayang.

“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat,” kata beliau.

Beliau juga mengungkapkan penghargaan tidak berbelah bahagi buat petugas bahagian hadapan dalam usaha mengekang wabak tersebut.

“Kepada frontliners, para doktor, jururawat, kakitangan hospital dan juga cashier pasar Raya yang terus berkhidmat dalam masa ini. Terimalah tunduk hormat dari saya!

“Cara paling baik kita membalas budi dan menyumbang, is to #STAYHOME,” tulisnya.

Loading...

Leave a Reply