JERLUN – Lantikan politik dalam Pertubuhan Peladang perlu dilihat secara positif dan bukannya menolak tanpa memahami tujuan lantikan itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata mereka yang dilantik mempunyai kepakaran tertentu dan ia untuk membantu mencapai matlamat yang ditetapkan.
Katanya, ini adalah sebahagian transformasi seperti yang disebut oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pembaharuan ini akan memberi manfaat kepada peladang.
“Dalam membuat perubahan ia akan turut membabitkan soal perlembagaan supaya ia kondusif dan tidak menghalang kita mencapai matlamat.
“Saya fikir dalam kalangan ahli politik pun ramai yang bersifat pakar dalam bidang tertentu, kita terpaksa akui perkara itu.
“Contohnya di dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sendiri banyak ahli politik dari dulu lagi, dan di pihak kami tiada masalah jika ada ahli peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang cenderung kepada politik, itu kita tak kisah,” katanya.
Mukhriz yang juga Pengerusi MADA ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK MADA di MADA Jerlun, di sini, hari ini.
Beliau mengulas bantahan ahli PPK yang mendakwa Warta Kerajaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 dibuat secara tergesa-gesa dan dilihat tidak melambangkan demokrasi.
Sebelum ini akhbar Berita Harian melaporkan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd Saman, berkata kekecewaan pihaknya itu berpunca daripada perubahan yang dibuat terhadap lantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN iaitu seramai lima AJP dilantik secara lantikan menteri, manakala empat orang lagi dipilih dalam kalangan ahli.
Katanya, ia dilihat seperti menteri mengambil kuasa ahli pertubuhan peladang, di mana sebelum ini (lantikan) dipilih oleh ahli peladang dalam mesyuarat agung tetapi kini sebaliknya apabila lebih separuh adalah lantikan menteri.
Leave a Reply