‘Kitorang hanya berlakon, korang dah kena prank’

0

Semalam netizen digemparkan dengan klip video pertengkaran dua penyanyi dangdut iaitu Sheeda dan Ifa Raziah di kawasan parkir yang didakwa berpunca dari Ifa memburuk-burukkan Sheeda.

Klip video yang dimuat naik Sheeda itu pantas menular di serata media sosial dan api disemarakkan lagi dengan kapsyen video di mana Sheeda menyelar Ifa sebagai perempuan plastik, penipu dan gemar memburukkan dirinya.

Ramai netizen yang percaya dan bersimpati dengan Sheeda dan sementara itu, Ifa di Instagramnya pula berkata dia bersyukur dengan segala kutukan yang diterimanya. Malah dalam laporan sebuah laman berita, Ifa dikatakan telah membuat laporan polis.

Bagaimanapun, baru dua jam yang lalu, Sheeda memuat naik video kedua yang menjelaskan dia dengan Ifa sebenarnya bergurau sahaja.

“Memang kami dah lama tidak bertegur sapa sebelum ini tetapi kami sudah pun berdamai. Kami hanya bergurau, jadi korang semua jangan serius sangat okey,” tulis Sheeda di Instagram.

Dalam video kedua, Ifa menjelaskan mereka berdua sebenarnya berlakon dalam drama yang tidak lama lagi akan dikeluarkan, dalam slot Akasia.

“Dan you all semua terkena. Prank daripada kitorang. Terima kasih, selamat hari raya,” katanya.

Di ruangan komen, netizen menyatakan kekesalan terhadap kedua-dua selebriti berkenaan yang dianggap mencari publisiti murahan yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap mereka.

“Gimik murahan selalunya begitu. Nanti lama kelamaan orang dah tak percaya pada artis Malaysia,” kata netizen.

Leave A Reply

Your email address will not be published.