Bukan sekadar blog

Berita Utama

Kit Siang bimbang skandal video ‘Azmin’ boleh hancurkan PH

KUALA LUMPUR – Skandal video memaparkan individu didakwa seorang menteri Kabinet yang tersebar sejak beberapa hari lepas boleh menyebabkan agenda Malaysia Baharu melalui Pakatan Harapan (PH) tersasar daripada landasannya.

Peringatan itu disuarakan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa selama empat hari seluruh negara begitu ghairah mengambil tahu kisah video itu bahkan ‘dihantui’ video berkenaan.

“Seluruh negara begitu ghairah ingin tahu, diburu dan dihantui oleh video membabitkan individu mirip seorang menteri. Ia berpotensi memusnahkan PH serta membuatkan agenda Malaysia kita tersasar.

“Pemimpin PH mesti bersatu untuk maju ke depan dan tak tersasar daripada agenda Malaysia Baharu. Tidak syak lagi, video Haziq merupakan cabaran terbesar PH sejak memenangi PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Haziq yang disebut Kit Siang merujuk kepada Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku salah seorang lelaki dalam video seks tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut melontarkan soalan kepada rakyat yang mengundi PH, adakah mereka akan membenarkan video tersebut menggagalkan misi ‘Selamatkan Malaysia’.

“PH akan terus melaksanakan janjinya apabila Parlimen bersidang pada Julai. Saya meminta orang ramai untuk menaruh keyakinan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan berhubung kes video tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Kit Siang menjangkakan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang.

“Saya mahu sidang Parlimen Julai ini dikenali sebagai Parlimen IPCMC, bukannya sidang video Haziq,” tegas beliau.

Rabu lepas, Haziq membuat pengakuan dia merupakan individu dalam sebuah klip video bersama seorang lelaki didakwa menteri Kabinet.

Haziq kemudiannya ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina Jumaat lalu.

Bagaimanapun jam 5.48 petang semalam, Haziq dibebaskan dengan jaminan polis selepas melalui proses siasatan selama 24 jam.

Loading...

Leave a Reply