Bukan sekadar blog

Berita Utama

Pendakwaan terhadap anak tidak menjejaskan imej saya, kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pertuduhan mahkamah terhadap anak lelakinya tidak akan mencalar imej beliau sebagai anggota Kabinet.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata beliau tidak mempunyai masalah berhubung perkara itu.

Katanya, beliau dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah untuk menentukan proses perbicaraan sehingga selesai.

“Tidak ada apa yang membimbangkan dan biarkan mahkamah menjalankan tugas. Tidak ada masalah dan imej saya tidak akan tercalar,” katanya ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Maju Holdings di Golden Eagle Hall, Bandar Tasik Selatan di sini, malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Loading...

Pada 13 Jun lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengesahkan anak lelaki Menteri Pertahan itu iaitu Ahmad Saiful Islam, didakwa kerana pengambilan dadah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat, berkata Ahmad Saiful, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika bersabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan isu pengambilalihan tanah milik Kementerian Pertahanan, Mohamad berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh datang ke kementeriannya pada bila-bila masa.

“Saya tak nak komen apa-apa. Laporan oleh bekas Ketua Audit Negara yang kini Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan, Tan Sri Ambrin Buang, sudah lengkap dan akan diserahkan kepada SPRM serta polis,” katanya.

Loading...

Leave a Reply