Bukan sekadar blog

Berita Utama

Kerosakan dari zaman BN ganggu pemulihan negara – Mahathir

PUTRAJAYA – Dr Mahathir Mohamad mengakui kesalahan, kerosakan dan perbuatan-perbuatan pentadbiran terdahulu dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan negara dan kesejahteraan rakyat yang cuba dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata justeru langkah-langkah dan tindakan sepatutnya telah dan akan diambil pentadbiran terkini negara demi memulihkan semula negara.

“Kita dapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga kita dapati kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji seberapa segera yang mungkin.

“Malahan, keutamaan kita berubah apabila kita dapati kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu kita selesaikan terlebih dahulu,” katanya sewaktu menyampaikan perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri kabinet dan pemimpin parti-parti komponen di dalam PH.

Dr Mahathir berkata tindakan juga telah diambil ke atas pegawai dalam pentadbiran kerajaan yang bersekongkol dan terlibat dalam aktiviti rasuah dan salahguna kuasa pemimpin tertinggi sewaktu pentadbiran kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, kerajaan PH juga telah merunding semula kontrak-kontrak yang dilulus oleh Najib sendiri, hingga berjaya menyelamatkan RM22.8 bilion.

Langkah-langkah lain, kata perdana menteri adalah menyiasat skandal 1MDB, dan menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa untuk melesapkan duit kerajaan dan menekan rakyat; di samping memulihkan semula institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh pentadbiran yang dahulu termasuklah Tabung Haji dan Felda.

Dr Mahathir berkata bagi memerangi rasuah, satu badan pencegah rasuah, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) ditubuhkan bagi meningkatkan integriti dan membasmi rasuah selain memperkuatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memperkenal Pelan Anti-Rasuah Nasional.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri keempat pada 1981 hingga 2003 itu berkata kerajaan juga mengkaji semula projek-projek mega termasuk ECRL yang mana harga projek itu melampaui nilaian sepatutnya.

Menurutnya lagi, walaupun segala kesalahan pentadbiran terdahulu didedahkan, Najib dan rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penipuan oleh mereka.

Loading...

Leave a Reply