Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Kereta terbang dilancar Oktober ini

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan menjangkakan prototaip kereta terbang dilancarkan seawal Oktober tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Katanya, ketika ini pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mewujudkan undang-undang berkaitan.

Beliau menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS- Pasir Putih) mengenai perkembangan pembangunan model prototaip kereta terbang di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa projek berkenaan tidak membabitkan wang awam, sebaliknya inisiatif syarikat persendirian supaya industri itu selari dengan antarabangsa.

Katanya, dengan kepesatan inovasi hari ini, Malaysia tidak boleh ketinggalan sebaliknya perlu membuka ruang dengan pembabitan dalam semua usaha anak tempatan.

“Tahun lalu, 11 projek bagi sektor aeroangkasa berjumlah pelaburan RM816 juta kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan empat projek dimiliki rakyat asing berjumlah RM338 juta atau 41 peratus.

“Manakala tujuh projek dimiliki syarikat tempatan dengan jumlah pelaburan domestik bernilai RM478 juta atau 59 peratus,” katanya.

Ditanya mengenai jaminan keselamatan projek aeroangkasa yang membabitkan negara luar, Mohd Redzuan berkata, segala bentuk rekaan dan inovasi adalah diasaskan anak tempatan.

Katanya, undang-undang perlu dirangka kerana yang sedia ada adalah untuk industri penerbangan dan kerajaan sudah mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat bersama beberapa kementerian mengenainya.

“Di negara lain, cukup tahun ini contohnya Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah menjemput kami untuk menyaksikan pelancaran kereta terbang. Mereka sudah ada undang-undang aeroangkasa tadi untuk kita terbabit dalam industri itu.

“Mereka mula wujudkan undang-undang tiga tahun sudah, maksudnya sekarang kalau kita tidak bersedia kita akan mengekang perkembangan industri ini. Inisiatif kita hari ini, kita sudah pun mula merangka undang-undang ruang angkasa khusus untuk kereta terbang,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén