JOHOR BAHRU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai alasan tersendiri tidak dapat menunaikan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian setelah mewarisi beban hutang yang tinggi daripada sebuah negara yang hampir bankrap.

Katanya, walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, kerajaan tetap mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan Tabung Haji serta membantu menyelesaikan masalah dialami Felda.

“Bukan hendak salahkan Datuk Seri Najib atau kerajaan yang lepas tetapi kita warisi negara yang hampir bankrap. Kenyataannya, sumber yang kita ada agak terhad dan kita harus gunakan sumber yang terbatas ini bagi mengutamakan hal yang utama.

“Kita bukan hendak cari dalih dan kita juga memahami kehendak rakyat. Belum sampai setahun kita memerintah, bukan kita tidak tahu tapi tidak mampu melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersantai Bersama Pemimpin dan Pelancaran Buku Bersatu Mulanya Di sini di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin. – UTUSAN ONLINE

Loading...