SHAH ALAM – Kerajaan dicadang meminda Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) bagi menetapkan larangan ke atas mana–mana ahli politik mengunakan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk dijadikan manifesto pilihan raya.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, pindaan boleh dilakukan ke atas mana–mana peruntukkan sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5) dengan menjadi isu ini sebagai salah satu kesalahan pilihan raya dan melarang parti politik untuk terus menggunakan isu pinjaman pendidikan sebagai modal politik bagi meraih undi.
Menurutnya, satu langkah yang lebih drastik atau ekstrem perlu dipertimbangkan Kerajaan supaya isu yang berkaitan dengan PTPTN tidak terus menjadi permainan politik di masa akan datang.
“Dengan adanya peruntukkan khusus mengenai perkara ini, ahli politik tidak lagi boleh menjadikan isu pinjaman pendidikan sebagai bahan kempen politik atau manifesto setiap kali tibanya musim pilihan raya.
Sekiranya mereka masih berdegil berbuat demikian, ahli politik serta partinya boleh dikenakan denda atau sebarang hukuman yang berat,” katanya dalam satu kenyataan.
Muzaffar Syah berkata, isu ini apabila kerap dijadikan modal dalam berpolitik hanya akan menyebabkan peminjam keliru lebih-lebih lagi apabila tiba waktu pilihan raya.
“Ada dikalangan peminjam sanggup menunggu ahli politik membuat janji manis untuk mengurangkan atau memansuhkan terus pinjaman supaya mereka tidak perlu membayar balik pinjaman itu.
“Sikap sesetengah ahli politik ini sekaligus telah menyebabkan peminjam mengambil isu bayaran balik pinjaman mereka dengan sambil lewa kerana sering mengharapkan berita baik terhadap pinjaman yang telah mereka buat,” katanya.
Muzaffar Syah menambah, isu PTPTN tidak sepatutnya dipolitikkan lagi di Malaysia kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri serta bakal peminjam yang lain.
“Setiap peminjam yang rata–ratanya terdiri daripada generasi muda ini perlu dilatih dari peringkat awal untuk lebih berdisplin dalam soal pengurusan kewangan serta pembayaran balik hutang pendidikan yang dimiliki oleh mereka,” katanya.
Leave a Reply