KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa gaji yang tinggi tanpa peningkatan produktiviti adalah sia-sia selain hanya meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.
Katanya, cabaran utama ahli-ahli perniagaan di negara ini pada waktu ini adalah meningkatkan produktiviti merentasi ekonomi negara.
“Standard kehidupan nasional dan keupayaan dalam mengubah Malaysia sepenuhnya kepada status negara maju akan dipengaruhi kuat oleh keupayaan kita untuk meningkatkan kadar produktiviti.
“Saya dilatih untuk menjadi doktor perubatan. Tetapi ahli-ahli ekonomi dan pemimpin-pemimpin perniagaan sentiasa mengingatkan saya mengenai kepentingan produktiviti sebagai intipati utama untuk perkembangan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Konvokesyen Asia School of Business di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Bersama Lembaga Pengelola Asia School of Business, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Dekan pusat pengajian itu, Prof. Charles Fine. – UTUSAN ONLINE
Leave a Reply