Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Tragedi

Kanak-kanak temui ajal tertinggal dalam kereta ibu

KANAK-kanak perempuan ditemui terbaring di belakang kereta dengan kesan melecur dan mulut berbuih sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai tertinggal dalam kereta di Taman Aman, Lahad Datu, Rabu lalu.

Dalam kejadian 5 petang, mangsa berusia dua tahun itu dipercayai tertinggal dalam kereta ibunya selama kira-kira tiga jam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, wanita berusia 31 tahun itu bersama mangsa yang juga anak bongsunya mengambil dua lagi anaknya yang pulang dari sekolah kira-kira jam 1 tengah hari.

“Selesai menjemput dua anaknya, wanita berkenaan meletakkan kenderaan itu di kawasan tepi jalan perumahan mereka dan memesan anak pertamanya supaya membawa mangsa keluar dari kereta.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, ibu mangsa terus solat di tingkat dua dan tertidur di biliknya. Wanita itu hanya turun bersama suaminya pada jam 3.45 petang untuk makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, ketika makan, wanita itu memanggil nama mangsa namun tidak dijawab.

“Wanita berkenaan kemudian mencari mangsa di seluruh kawasan kediaman dan rumah jiran namun tidak menemui mangsa.

“Wanita terbabit pergi ke kereta dan melihat mangsa terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan mulut berbuih dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Nasri berkata, ekoran kejadian itu, mangsa dibawa keluar dari kereta sebelum dikejarkan ke Hospital Lahad Datu namun disahkan meninggal dunia walaupun rawatan kecemasan diberikan.

“Terdapat kesan melecur di kiri muka dan lengan mangsa. Hasil bedah siasat mendapati kesan melecur itu disebabkan keadaan panas di dalam kenderaan dan ia berlaku selepas mangsa meninggal dunia.

“Punca kematian disebabkan keadaan suhu atau haba terlalu panas. Ibu mangsa ditahan sejurus pegawai perubatan membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén