KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi bayangan untuk tidak lagi bergiat aktif dalam politik selepas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Bagaimanapun, menurut Wan Azizah, beliau akan terus menumpukan tugas sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga penggalnya berakhir.

“Pusingan ini sudah lengkap apabila ia berlaku tidak lama dahulu. Ketika itu saya sebagai isterinya (Anwar) bagaimanapun sekarang saya diberikan amanah dan tanggungjawab ini (Timbalan Perdana Menteri).

“Saya rasa saya tidak akan aktif dalam politik selepas menghabiskan penggal perkhidmatan (Ahli Parlimen),” katanya pada wawancara khas sempena setahun pentadbiran PH di sini baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar seperti yang sering dilakukannya selama ini.

“Dahulu saya bekerja di hospital sebagai doktor. Mungkin saya akan terlibat semula untuk menjaga kesihatan bahunya,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga akan terus menyumbang kepada negara sebagai seorang rakyat.

“Adalah sangat penting untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Saya rasa saya boleh terus memberikan sumbangan, itu peranan saya,” katanya.

PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, tempoh masa bagi jawatan Perdana Menteri yang kini disandang oleh Tun Dr Mahathir tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.

Loading...