PENYERTAAN pemimpin Umno dan PAS dalam Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam disifatkan sebagai hipokrit demi kepentingan politik parti masing-masing dengan mempergunakan nama Islam.
Naib Presiden PAN, Mahfuz Omar, berkata tindakan PAS menyertai himpunan bersama pemimpin Umno yang merosakkan Lembaga Tabung Haji, Felda dan Felcra sehingga kerajaan baru terbeban dengan isu kewangan juga adalah satu bahan ketawa untuk rakyat.
“Himpunan semalam disertai pemimpin Umno yang sudah merosakkan pelbagai agensi, dan tiba-tiba PAS pun ada kononnya mahu sama-sama pertahankan kedaulatan Islam.
“Ini boleh jadi bahan lawak sebab macam mana PAS boleh bersama dan bersekongkol dengan Umno?
“Dulu PAS bukan main mahu jatuhkan kuasa dan pemimpin Umno tetapi sekarang boleh pula bawa Datuk Seri Najib Razak ke Kompleks Pas di Kota Sarang Semut baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Peduli Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Alor Setar hari ini.
Beliau mengulas mengenai himpunan yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur yang kononnya bertujuan bagi menyatakan kekesalan susulan beberapa insiden menghina Islam, Melayu dan institusi raja-raja dan kedaulatan perlembagaan.
Leave a Reply