JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan suspek utama bersama tiga lagi lelaki, semalam bersabit kes samseng jalanan menggunakan parang di Lebuhraya Pasir Gudang, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil siasatan pihaknya berjaya mengesan suspek utama berusia 31 tahun dan tangkapan dibuat di kawasan sekitar Simpang Renggam pada jam 5.30 petang semalam.
Katanya, suspek utama turut ditahan bersama tiga lagi lelaki yang dipercayai terbabit menjalankan jenayah samun.
“Seorang lagi suspek yang masih bebas masih lagi diburu pihak polis dan dengan tertangkapnya semua suspek, Polis Johor berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun sekitar bandar raya ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.
“Semua suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Bagi kes samun, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Video berdurasi satu minit 24 saat menunjukkan dua lelaki keluar daripada kereta beberapa kali menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya selain seorang daripadanya menghentak cermin hadapan kenderaan dengan parang mula tular di laman sosial sejak kelmarin.
Kejadian itu dipercayai berikutan rasa tidak berpuas hati kerana suspek tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak.
Leave a Reply