Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Hati-hati kerja, jangan leka’ – Pesanan akhir abang sebelum maut dalam kebakaran

“HATI-HATI, jangan leka. Kerja bidang gas dan petroleum berisiko tinggi, bila-bila masa (premis operasi) boleh meletup,” itu pesanan terakhir seorang mangsa yang rentung di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi, kepada dua adiknya.

Pesanan terakhir, Fadhi Akmal Fadzil, 28, itu masih terngiang-ngiang di ingatan dua adik mangsa, Faizul Ikhwan Fadzil, 25, dan Faris Aiman Fadzil, 20.

Ketiga-tiga beradik yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, itu bekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, sejak tiga tahun lalu.

Faizul Ikhwan berkata, dia tidak menyangka pesanan abangnya itu berakhir tragedi yang menyayat hati keluarga mereka.

“Luruh jantung saya apabila mendapat panggilan telefon pagi tadi menyatakan abang terkorban dalam insiden letupan semalam.

“Saya tidak dapat mengawal diri dan hanya mampu menangis sebelum menghubungi ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

Menurut Faizul Ikhwan, arwah abangnya baru mula bekerja semalam selepas bercuti selama dua minggu di Sungai Petani kerana tahun ini dia tidak mendapat cuti raya.

“Saya sangat ralat tidak sempat bertemunya kerana dia ada menghubungi untuk bertemu kerana sudah membelikan mi sanggul yang dipesan kami dua beradik.

“Abang juga baru membeli rumah di Bayu Damai, Pengerang dan sedang membeli perabot dan membuat ubah suai sebagai persediaan untuk berumah tangga namun hajatnya tidak kesampaian,” katanya.

Pagi hari ini, media melaporkan lima mangsa rentung manakala seorang lagi parah dalam dalam insiden kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian 10.50 malam tadi, empat mangsa yang maut adalah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor dan Che Huzaidy Che Harun.

Jenazah mangsa kelima, Hadi Syafiq Jamil, yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui bomba 12.42 tengah hari tadi.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Arnado Alexander parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat dilaporkan melecur 40 peratus pada tubuhnya.

Sementara itu, abang ipar seorang lagi mangsa terkorban, Nor Efendi Ismail, 49, berkata, dia sekeluarga terkejut apabila mendapat khabar adik iparnya, Norfazly, 32, adalah antara mangsa yang meninggal dunia dalam insiden kebakaran dan letupan itu.

Katanya, selepas menerima berita sedih itu daripada adik perempuan bongsu, Nor Siti Fazila Ismail, 32, memaklumkan suaminya terkorban, dia menjadi kelu.

“Adik saya seorang yang pendiam dan sangat menyayangi suaminya itu apatah lagi anak tunggal mereka baru berusia dua tahun.

“Saya sangat sedih memikirkan keadaan mereka dua beranak. Kami sekeluarga sudah berbincang akan membawa jenazah Norfadzly untuk dikebumikan di kampungnya di Lipat Kajang, Jasin,” katanya.

Loading...

Leave a Reply