Bukan sekadar blog

Berita Utama

Harus bukan Islam agih bantuan zakat – Mufti Pulau Pinang

PULAU PINANG – Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menjelaskan adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada bagi menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf berdasarkan sudut hukum fikah.

Menurut beliau, perkara itu hanya yang berkaitan dengan muamalat dan ibadat maliyah seperti zakat, nazar dan kafarah.

Bagaimanapun, tambahnya, bagi ibadat yang berbentuk fizikal seperti solat dan puasa, maka tidak harus diwakilkan kepada orang lain sama ada Muslim atau bukan Muslim untuk melakukannya bagi pihak seseorang.

Jelasnya, Zakat Pulau Pinang (ZPP) hanya menyalurkan zakat menerusi pelbagai pihak termasuk melalui wakil-wakil rakyat Muslim dan bukan Muslim untuk disampaikan kepada golongan asnaf.

“Jadi, asal tidak diselewengkan, pada pandangan saya, tidak perlu dijadikan isu.

“Sebagai Mufti, saya ingin menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh-temeh seperti ini, sebaliknya perlu lebih menumpukan perhatian kepada hal-hal yg lebih penting bagi memacu pembangunan ekonomi dan pendidikan umat Islam agar mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan setanding dengan kaum-kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi pengagihan zakat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam di sini Ahad lalu.

Chun Kit dalam status dimuat naik di dalam laman Facebook menjelaskan kit bantuan ZPP itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Bagaimanapun, tindakannya menyerahkan kit bantuan zakat itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatan tersebut sebagai mencampuri hal ehwal agama Islam.

Mengulas kontroversi itu, ZPP menjelaskan pengagihan dan penyerahan kit bantuan yang dilakukan oleh beberapa pemimpin bukan Islam di negeri ini adalah di luar kawalan badan tersebut.

Menurut ZPP, agensi berkenaan dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sedar perkara itu boleh menimbulkan fitnah dan telah mengambil langkah memberi nasihat kepada ADUN berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply