KUALA TERENGGANU – Harga rumah dijangka mengalami penurunan apabila kerajaan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula September depan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan secara terperinci jumlah penurunan itu kerana cukai berkenaan belum dilaksanakan.

Menurutnya, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diaplikasikan oleh kerajaan terdahulu lebih banyak menyumbang kepada kenaikan harga rumah kerana ia dikenakan kepada semua komponen bahan pembinaan seperti simen, besi dan kayu.

“Dari segi teori, kos rumah akan turun dengan adanya SST, tapi susah kita nak jangka sebanyak mana kesannya kerana ia masih di peringkat awal. Kena tunggu dan lihat selepas ia dilaksanakan baru nampak kesan lebih praktikal.

“Sudah tentu kos GST lebih tinggi, apa yang boleh saya katakana GST lebih banyak menyumbang kepada kenaikan harga berbanding SST,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat yang dihadiri lebih 500 tetamu di rumahnya, malam tadi.

Mengulas isu harga rumah tinggi di Terengganu berbanding pendapatan rakyat, Raja Kamarul Bahrin berkata, masalah perumahan di negeri ini agak serius dan beliau akan berusaha membantu rakyat menyediakan rumah berdasarkan kemampuan mereka.

Dengan peluang kerja terhad dan gaji rendah, penduduk Terengganu dilihat hanya mampu membeli rumah mampu milik bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000.

“Usaha merendahkan kos rumah bergantung kepada dua faktor iaitu kos pembinaan dan harga tanah. Kita hanya boleh kuasai kos pembinaan, tanah milik kerajaan negeri dan jika kerajaan negeri boleh beri tanah dengan harga rendah dan berpatutan, insya-ALLAH target kita sediakan rumah mampu milik akan tercapai.

“Kalau dapat tanah dengan nilai harga pasaran, memang susah kita nak tunaikan hasrat rakyat. Di Terengganu kalau harga rumah sekitar RM70,000 hingga RM80,000 itu di luar kemampuan kerana peluang kerja dan gaji di sini terhad,” katanya.

Loading...