SHAH ALAM – Usaha PKR Selangor untuk menggerakkan sokongan akar umbi ke atas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali setelah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu didakwa terbabit dalam aksi seks sejenis, yang videonya disebarkan sejak kelmarin nampaknya kurang mendapat sokongan.
Ini selepas hanya kira-kira 100 ahli akar umbi dan penyokong kuat Mohamed Azmin sahaja yang hadir dalam majlis solat hajat berserta bacaan Yassin khusus untuk Timbalan Presiden PKR tersebut yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebentar tadi.
Antara pemimpin PKR yang dilihat hadir ialah Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.
Dalam pada itu, Amirudin yang diketahui penyokong kuat Mohamed dalam ucapannya berkata, beliau yakin kebenaran akan muncul dalam episod video seks sejenis tersebut.
“Inilah cabaran besar yang perlu kita lalui dan hadapi. Oleh sebab itu, kita bukan sahaja berdoa untuk menunjukkan kebenaran tetapi yakin bahawa kebenaran akan muncul.
“Fitnah politik seperti ini hanya berlaku di zaman 90an sahaja namun dalam Malaysia Baharu ini ada lagi yang berjiwa kotor dan tidak suka kepada kejayaan perubahan yang dilakukan. Teruskan berdoa dan yakin kebenaran akan muncul,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK yang juga Setiusaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham berkata pihaknya akan membuat satu laporan polis terhadap seorang individu yang mengaku terbabit melakukan aksi seks bersama individu mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.
Jelas Hilman, pihaknya akan membuat laporan terbabit akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi esok selain membuat laporan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Laporan qazaf akan dibuat bagi membersihkan nama Mohamed Azmin yang difitnah terbabit dengan video lucah.
“Kali ini kita akan lawan habis-habisan. Beberapa bulan ini, kita berdiam diri (terhadap fitnah) dan beri kerjasama tetapi kali ini kita ambil keputusan tegas untuk melawan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE
Leave a Reply