Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Hanipa hairan kenapa rakyat berswafoto dengan Najib

LIPIS – Kehadiran Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat memberi impak apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut menjadikan kehadiran Najib sebagai topik dalam ceramah mereka.

Ini dapat dilihat apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin menyatakan beliau malu apabila melihat orang ramai berswafoto dan bergambar dengan Najib.

“Pada kami semua DAP, PKR dan Bersatu saya hairan pilihan raya ini bekas Perdana Menteri boleh hadir di sini dan orang di sini boleh sambut. Ini apa maruah kita tuan puan.

“Memang segi perundangan beliau tidak (lagi) didapati bersalah. Tuan-tuan boleh bergambar, berswafoto dengan dia, bukan tuan-tuan yang malu saya yang malu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PH di Dataran Sungai Koyan, di sini semalam.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Parlimen Cameron Highlands ia tidak memberikan makna kepada rakyat kerana ia adalah kemenangan buat Najib.

“Kalau kita lihat suratkhabar, rupanya calon BN bukanlah tuan Ramli (Ramli Mohd. Nor), calon BN rupanya Datuk Seri Najib, dia lagi menonjol.

“Kalau kali ini BN menang bukan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) menang bukan Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menang tetapi Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén