SEORANG lelaki terbabas angkara kanak-kanak yang tidak bertanggungjawab menyuluh laser ke keretanya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), baru-baru ini.

Menerusi aduan yang dikongsikan di laman Info Roadblock JPJ/POLIS, mangsa yang dalam perjalanan dari Dungun ke Perlis terganggu dengan sinaran laser hijau yang dipancarkan dari kereta di hadapannya.

“Hampir terbabas di LPT2. Perjalanan balik masih jauh. Anak-anak dan isteri ada dalam kereta. Jalan licin dan hujan sepanjang perjalanan. Bawa lorong kiri kurang 80km/j.

“Dia boleh main laser aim pemandu di tempat gelap. Sudahlah banyak kereta di atas highway. Bila sampai tol, berhenti tepi panggil dia nak tegur, dia buat-buat pekak, buat muka tak bersalah pandang depan.

“Apalah bang, nyawa orang jangan buat main-main. Minta peronda LPT2 pantau kejadian ini,” katanya.

Sementara itu di media sosial, netizen menyelar tindakan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tidak mengawasi kelakuan anak mereka.

Bagaimanapun, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada kanak-kanak terbabit tampil memberikan penjelasan.

“Kami tak sedar pun anak-anak main laser. Kalau sedar, kami berhenti tepi dah,” katanya.

Loading...