Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Guru rotan kaki murid enggan solat terima hukuman

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mengekalkan sabitan terhadap seorang guru agama selepas dia didapati bersalah mencederakan kaki muridnya berusia 11 tahun menggunakan rotan kerana enggan menunaikan solat.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman bagaimanapun menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada penjara sehari iaitu hari ini (semalam) serta denda RM2,000 dinaikkan kepada RM4,000 terhadap tertuduh Muhammad Adib Abd Halim, 25.

Ketika membaca ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, sabitan kes dikekalkan namun hukuman berkenaan dipinda.

Prosiding rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Pushparasi manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Amin Abdullah.

Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap tertuduh.

Muhammad Adib dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Afidah Idris selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhammad Adib dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan tuduhan memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret bagaimanapun membenarkan permohonan Khairul Amin bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada 28 Ogos 2017, Muhammad Adib mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada jam 2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén