Bukan sekadar blog

Politik

Mahfuz Omar beri peringatan pada Raja-Raja Melayu

KEMAMAN – Majlis Raja-Raja digesa menasihati golongan istana supaya jangan mencampuri urusan politik kerana ia boleh menimbulkan kecaman rakyat seterusnya menjejaskan imej institusi diraja.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar berkata, Majlis Raja-Raja perlu menasihatkan mana-mana pihak dalam kalangan golongan istana supaya tidak menyentuh sebarang perkara yang boleh menyebabkan orang ramai terutama generasi muda ‘menyerang’ orang istana.

Beliau berpendapat, Majlis Raja-Raja perlu memainkan peranan termasuk memberi nasihat supaya golongan istana tidak terlepas cakap perkara yang boleh mengundang kepada imej tidak baik kepada raja-raja.

“Kita tidak mahu berlaku seperti hari ini bila ada golongan istana yang dilihat terlalu lantang akhirnya menyebabkan pelbagai pihak menyerang,” katanya mengulas mengenai sindiran Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tuanku Ibrahim supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diganti.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Projek Inovasi dan Kreativiti TVET (TICPRO 19) anjuran Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman di Payoh di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, serangan yang dilakukan terutama di media sosial boleh menimbulkan aib.

“Di media sosial hari ini rasa hormat itu sudah seakan-akan hilang, mereka tidak peduli lagi apa pun kedudukan seseorang itu. Kalau tidak bersetuju dengan kenyataan seseorang, mereka serang dan keluarkan cerita-cerita lama,” katanya.

Mahfuz juga bersetuju dengan pandangan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim agar mana-mana orang istana yang mahu melibatkan diri dengan politik perlu melepaskan gelaran atau kedudukan mereka sama ada sebagai raja, tunku mahkota dan sebagainya.

“Lepas itu mereka boleh terlibat dengan mana-mana parti politik yang menjadi pilihan ataupun mereka boleh berpolitik secara bebas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply