Bukan sekadar blog

Berita Utama

Gaza hampiri bencana, sejuta penduduk bakal kebuluran

NEW YORK – Gaza berada di ambang ‘bencana kemanusiaan’ dan sejuta penduduk Palestin akan berhadapan kebuluran tidak lama lagi, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bajet agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA) dijangka habis dalam masa sebulan dan agensi itu dalam keadaan terdesak memerlukan dana tambahan, kata pegawai badan dunia itu.

Secara keseluruhan, UNRWA memerlukan AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) setahun untuk mengendalikan program sekolah, perubatan dan makanan serta bantuan kewangan kepada lima juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Syria, Lubnan dan Jordan.

Musim panas lalu, agensi itu terpaksa merayu sumbangan tambahan dari Eropah dan Teluk selepas Amerika Syarikat, penyumbang kewangan terbesar, memutuskan untuk mengurangkan semua pembiayaan, menyebabkan defisit bajet lebih AS$440 juta (RM1.8 bilion).

Tanpa sumbangan baharu, Gaza bakal menjadi wilayah paling teruk terjejas yang mempunyai hampir dua juta penduduk dan menghadapi kepungan rejim Zionis dan Mesir selama 12 tahun.

PBB menganggarkan tambahan dana AS$20 juta (RM83 juta) diperlukan menghalang krisis kesihatan.

“Kes senario paling buruk adalah kami tidak mampu terus memberi makan kepada separuh penduduk Gaza.

“Kami terpaksa menutup sekolah, penduduk tiada akses kepada sistem penjagaan kesihatan. Kami perlu kurangkan pekerjaan,” kata pengarah pejabat UNRWA Washington DC, Elizabeth Campbell. — Agensi

Loading...

Leave a Reply