KUALA KRAI – Tiada siapa menyangka bangsal buruk yang sekali imbas seperti kandang kambing dan terletak jauh di pinggir kampung rupanya dihuni empat sekeluarga.
Bangsal yang berlantaikan tanah di bahagian dapur, dinding dan lantai berlubang serta bumbung banyak yang bocor dianggap ‘istana’ bagi Hafisah Kasim, 43, dan suami, Ibrahim Doni, 41, serta dua anak mereka, Norma Ibrahim, 10, dan Mohd Nasrullah, 7, dari Kampung Bahagia, di sini, yang menjadi tempat berteduh sejak 10 tahun lalu.
Kedaifan mereka bukan hanya terzahir dari luaran kediaman, malah juga dari segi kehidupan kerana tiada bekalan elektrik dan hanya menggunakan pelita sebagai sumber cahaya di malam hari, memasak dengan dapur kayu dan mengangkut air dari telaga yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.
Hafisah berkata, rumah tidak berpintu dan daun tingkap asalnya milik penduduk kampung yang lokasinya agak terpencil kemudiannya menjadi tempat berlindung mereka sekeluarga.
“Kami tidak mampu membaik pulih rumah dan cukuplah ia mampu melindungi kami daripada hujan dan panas walaupun tiada pintu dan hanya ditutup kain sahaja pada waktu malam.
“Dalam keadaan rumah yang tidak sempurna, kami perlu berwaspada dengan haiwan berbisa kerana pernah dimasuki ular senduk dan lipan, malah saya sendiri pernah terkena sengatan (lipan),” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Terdahulu mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan makanan.
Kemiskinan hidup yang dialami mereka sekeluarga turut ditanggung dua anak yang sepatutnya berada di sekolah namun tidak dapat berbuat demikian meskipun ingin merasai suasana persekolahan.
Hafisah berkata, kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada suami yang hanya bekerja kampung dan impian dua anaknya dianggap mimpi di siang hari.
“Usahkan untuk bersekolah, makan minum seharian pun tidak menentu, jika ada wang dapatlah membeli lauk, kalau tidak kami makan nasi kosong.
“Suami hanya boleh bekerja di sekitar kampung sahaja kerana kami tidak mempunyai sebarang kenderaan dan itu antara faktor anak tidak dapat bersekolah kerana sukar untuk berulang-alik,” katanya yang turut masuk ke hutan bagi mencari kayu api untuk kegunaan memasak.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Mambong, Mohd Zain Abdul Rajib, berkata keluarga itu kerap menerima bantuan sama ada dari segi kewangan atau barang keperluan jika ada agihan yang dibuat.
“Permohonan mendapatkan rumah untuk mereka juga sudah diluluskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) namun pembinaannya masih belum dipastikan dan lokasinya agak jauh iaitu di Kampung Telekong memandangkan mereka tiada tanah sendiri.
“Dari segi bantuan lain seperti barang makanan dan kewangan, mereka tidak pernah dipinggirkan cuma kami hanya mampu memberi sekadar yang termampu dan apa yang diperuntukkan sahaja,” katanya.
Leave a Reply