Bukan sekadar blog

Berita Utama

Gara-gara Covid-19, lafaz azan di Kuwait diubah

Lafaz laungan azan di masjid Kuwait diubah sedikit berbanding kelaziman dalam situasi genting menghadapi krisis penularan Covid-19.

Ia susulan langkah pihak berkuasa Kuwait mengarahkan penutupan sementara masjid.

Memetik portal Middle East Eye, serentak penutupan rumah ibadat itu lafaz azan diubah daripada ‘hayya ‘ala al-Salah’ (marilah menunaikan solat) kepada ‘al-Salatu fi buyutikum’ (tunaikanlah solat di rumah anda).

Kementerian Hal Ehwal Islam Kuwait mengumumkan solat lima waktu yang lazimnya dibuat di masjid dibatalkan.

Susulan itu, beberapa video tular di media sosial memperdengarkan perbezaan lafaz laungan azan itu.

Pihak berkuasa berkata, muazin akan terus melaungkan azan, namun menukar lafaz laungan azan dengan mengajak orang ramai menunaikan solat di rumah masing-masing.

Pembaharuan itu berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

Awal minggu ini, Kuwait mengumumkan cuti umum antara 12 hingga 26 Mac dengan menyambung semula kerja pada 29 Mac manakala, entiti yang menyediakan khidmat penting beroperasi seperti biasa.

Pihak berkuasa juga melarang perjumpaan seperti di restoran, kafetaria dan pusat perniagaan.

Kerajaan turut mengenakan sekatan penerbangan antarabangsa, namun mengecualikan penerbangan kargo hingga diberitahu kelak.

Setakat Jumaat, Kuwait merekodkan 100 kes jangkitan Covid-19 tanpa kematian dengan lima daripada mereka disahkan sembuh.

Loading...

Leave a Reply