Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Tragedi

Gagal selamatkan diri, dua beranak temui ajal rentung dalam kebakaran

DUA beranak warga Indonesia rentung dalam bilik air di kediaman mereka ketika kebakaran membabitkan empat unit rumah sewa di Kampung Sungai Udang, Klang, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata kedua-dua mangsa, Sulastri, 48, dan anak lelakinya Wahyu Mohd Asraf, 18, dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran berkenaan dengan berlindung dalam bilik air di rumah itu yang terletak di Lorong Haji Yaacob.

Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan ekoran pintu belakang rumah yang terkunci dan dihalangi dengan sebuah motosikal.

Turut rentung tiga lagi motosikal lain yang disimpan dalam rumah berkenaan oleh anak mangsa yang bekerja sebagai mekanik.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 pagi tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama tiga jentera dikerah dalam operasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak memusnahkan sebuah daripada empat rumah itu yang didapati berkunci.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui dua mayat iaitu pasangan beranak di dalam tandas rumah terbabit.

“Selain kedua-dua mangsa, ada 10 lagi penghuni rumah sewa berkenaan turut kehilangan tempat tinggal namun tidak cedera,” katanya kepada pemberita.

Norazam berkata, siasatan awal mendapati dua beranak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran yang bermula di ruang tamu rumah berkenaan.

“Namun, jeriji besi di pintu depan rumah berkunci selain pintu belakang yang juga berjeriji terhalang oleh sebuah motosikal di bahagian dalam.

“Kedua-dua mangsa kemudian pergi ke tandas dipercayai untuk menyelamatkan diri namun maut dipercayai akibat sesak nafas terhidu asap dan rentung,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah di blok lain dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 30 minit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada ada unsur khianat, litar pintas atau kecuaian.

“Kami turut menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mencari punca kebakaran.

“Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén