Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menumpukan usaha menambahbaik program kerajaan sedia ada dan bukannya dengan menjenamakannya semula.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mohd Mizan Aslam berkata, ia bagi mengelakkan tanggapan bahawa kerajaan kini sekadar meniru idea pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan tidak perlu jenamakan semula perkara baik yang dilakukan kerajaan sebelum ini untuk elak persepsi masyarakat bahawa kerajaan meniru (kerajaan lalu) serta tiada idea.

“Perkara baik dibuat kerajaan sebelum ini perlu diteruskan, tak perlu dijenamakan semula kerana ia membabitkan kos,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Institut Kajian Strategik Malaysia (MYRISS) itu berkata rakyat tidak memerlukan penjenamaan semula sebaliknya mahu kerajaan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Keputusan yang hendak dibuat perlu ambil kira kepentingan rakyat,” kata Mohd Mizan.

Isu penjenamaan semula beberapa program kerajaan menjadi perhatian dan dikritik sesetengah pihak kerana membabitkan kos tinggi.

Sebelum ini, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dengan nama baru sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).

Pada 15 April lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjenamakan semula Program Permata Negara (Permata) kepada Genius.

Permata diilhamkan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menjenamakan semua 1Malaysia 4 Youth (iM4U) kepada Impact Malaysia.

‘Belanjakan wang untuk kesejahteraan rakyat’

Bagi Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail menyifatkan penjenamaan semula itu hanya merugikan wang rakyat.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum, dengan hutang negara yang semakin meningkat di bawah kerajaan baru, wang rakyat seharusnya digunakan bagi membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Sepatutnya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat, menyediakan peluang kerajaan seperti dijanjikan.

“Setiap wang rakyat seharusnya dibelanjakan untuk mensejahterakan rakyat dan bukannya penjenamaan semula,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Amanah, Sany Hamzah berpendapat, perkara baik yang ditinggalkan pentadbiran lalu sewajarnya diteruskan.

“Kalau tiada keperluan untuk dijenamakan semula, maka tak payah lakukan, yang penting program itu manfaatnya kepada rakyat,” jelas beliau.

Loading...