Bukan sekadar blog

Berita Utama

Dua anak maut dirempuh kereta sehari sebelum hari raya

MARANG – Walaupun hampir 10 tahun berlalu, tragedi meragut nyawa dua anak sehari sebelum Aidilfitri masih menjadi igauan ngeri buat suami isteri setiap kali menjelang hari raya.

Dalam kejadian 5.30 petang sebelum hari raya pada 2009, Amirul Hakim Mohd Ruzaimi, 12, bersama adiknya, Sofia Adani Mohd Ishak, 7, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika bermain di gerai buah neneknya di Jalan Pulau Kerengga, di sini.

Akibat kejadian itu, ibunya, Noruslaili Roslan, 37, mengalami kemurungan dan mengambil masa selama tiga tahun untuk pulih kerana terlalu sedih dan terkejut dengan pemergian serentak dua anaknya menjelang 1 Syawal.

Noruslaili berkata, Amirul Hakim adalah anak sulungnya hasil perkahwinan terdahulu dengan bekas suami manakala Sofia Adani pula anak sulungnya bersama suaminya sekarang, Mohd Ishak Othman, 40.

“Mereka sangat manja dengan saya dan setiap kali menjelang Aidilfitri, mereka akan ke rumah neneknya, Norlia Musa, 58, di Kampung Pulau Kerengga untuk menyambut lebaran.

“Pada hari kejadian, saya dan suami berada di Kuala Terengganu dan memang terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa mereka.

“Pemergian mereka memberi tamparan hebat kepada saya kerana ia berlaku ketika kami teruja menyambut Aidilfitri dan kami sekeluarga akan terkenangkan kedua-dua arwah setiap kali menjelang Syawal,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Kerengga, di sini, hari ini.

Loading...

Tambahnya, dia mengalami kemurungan selama tiga tahun kerana terlalu rindukan dua anaknya sehingga terpaksa menjalani pelbagai rawatan untuk mengembalikan semangat.

“Dalam tempoh itu, air mata sentiasa mengalir terutama apabila melihat sesuatu yang mempunyai kaitan dengan mereka menyebabkan sebahagian besar gambar dan pakaian arwah berada dalam simpanan keluarga.

“Saya dan suami kini dikurniakan tiga anak selepas kejadian itu iaitu Anati Solehah, 10; Ahmad Syafie, 5; dan Ahmad Syamim,2, selain Ahmad Solihin, 13, yang ketika kejadian berusia tiga tahun.

“Kerinduan pada arwah tidak pernah padam dan kami akan sentiasa mengingati mereka sehingga ke akhir hayat.

“Sekarang kami menjalankan perniagaan buah dan kedai kami tidak jauh dari gerai ibu iaitu lokasi kejadian yang meragut nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ishak berkata, dia dan keluarga menerima kejadian itu dengan hati terbuka kerana percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Kejadian itu sudah 10 tahun berlalu dan Allah SWT sudah menggantikannya dengan tiga anak yang baru sebagai amanah untuk kami menjaga mereka.

“Menjadi kelaziman kami menziarahi kubur mereka terlebih dahulu pada pagi Aidilfitri sebelum beraya ke rumah sanak saudara lain,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Loading...

Leave a Reply