Bukan sekadar blog

Berita Utama

Drawbridge Terengganu dibuka mulai pukul 7 pagi, Ahad ini

KUALA TERENGGANU – Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan dibuka kepada orang awam mulai pukul 7 pagi, pada Ahad ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua jenis kenderaan beroda dibenarkan menggunakan jambatan itu sepanjang tempoh percubaan selama dua minggu dari 2 hingga 17 Jun.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan tersebut kerana secara teknikal mercu tanda baharu Terengganu itu masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat operator pengurusan jambatan angkat akan memastikan aliran trafik berjalan lancar di samping keselamatan pemandu sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengujian ini.

“Saya minta supaya pengguna dapat mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook di sini hari ini.

Loading...

Menurut Ahmad Samsuri, pembukaan jambatan angkat itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya di samping koordinasi sistem penyuraian trafik.

Katanya, ujian yang dijalankan pada tarikh ini bersesuaian kerana merupakan waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek itu siap sepenuhnya sekali gus memberi keselesaan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau memberitahu, setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun ini, jambatan tersebut akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain di dalam projek berkenaan.

“Tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini akan dimaklumkan semula setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek diselesaikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply