KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengakui beliau enggan memegang jawatan itu untuk tempoh lama sebaliknya berhasrat untuk berpindah ke kementerian lain kelak.

Beliau menjelaskan hasratnya itu adalah supaya dapat membawa pembaharuan sepertimana dilakukannya di Kementerian Pendidikan.

“Itu kena tunggu menteri seterusnya, kecuali saya kekal menteri pendidikan; saya akan buat kenyataan masa itu.

“Tapi kalau boleh mahu pindah ke kementerian lain. Kita dah laksana sesuatu, kita ‘reform’ di tempat lain pula,” katanya pada media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media tentang perancangan yang akan dibincangkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN).

Terdahulu, beliau mengumumkan pelantikan 13 anggota dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara.

Wakil rakyat dari Bersatu sebelum ini terpalit dengan kontroversi berikutan kenyataannya mengenai pemakaian kasut hitam bermula tahun depan.

Terbaru beliau juga dikritik kerana ingin menetapkan warna stoking pelajar.

Susulan itu, beliau dikritik veteran DAP Lim Kit Siang yang meminta menteri itu berhenti bercakap mengenai kasut dan stoking dan tidak terperangkap dengan propaganda bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Loading...