Bukan sekadar blog

Berita Utama

Dr Maszlee letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan

PUTRAJAYA – Maszlee Malik hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa esok.

Dalam sidang akhbar di Kementerian Pendidikan sebentar tadi, Maszlee berkata beliau meletakkan jawatan atas nasihat Perdana Menteri, Dr Mahahthir Mohamad.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.

“Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya PPBM.

“Di atas nasihat perdana menteri dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya Maszlee Malik dengan ini menyerahkan semula jawatan sebagai menteri pendidikan malaysia berkuatkuasa 3 Januari 2020,” katanya.

Selepas mengumumkan peletakkan jawatan, Maszlee hanya mengambil 3 soalan daripada media.

Beliau kemudian terus menuju ke kenderaan Produa Myvi dan memandu keluar dari bangunan kementerian sambil melambai tangan kepada pegawai.

Terdahulu sebelum pengumumkan peletakkan jawatan Maszlee turut membacakan pencapaian kementerian bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

“Walau bagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam 3 kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baru. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, timbalannya Teo Nie Ching. Media tidak sempat mendapatkan komennya berhubung perkembangan ini.

Loading...

Leave a Reply