BERKAT doa seluruh rakyat Malaysia serta usaha gigih pasukan perubatan, pembedahan penuh risiko bagi membuang ketumbuhan di mulut Ainul Mardhiah akhirnya berjaya dilaksanakan, semalam.
Pembedahan yang mengambil masa selama lima jam itu berjaya membuang ketumbuhan seberat 200 gram dari mulutnya. Tahniah buat pasukan perubatan yang diketuai Prof David Dunaway dan Dr Julian Ong.
Sementara itu, Dr Amalina Che Bakri yang turut terlibat dalam pembedahan itu berkata, memandangkan ia merupakan pembedahan berisiko tinggi, banyak persiapan yang diperlukan untuk dilakukan sebelum pembedahan bagi memastikan bayi berkenaan selamat.
“Banyak perancangan, banyak imbasan, banyak perbincangan dan banyak kesabaran,” katanya.
Dr Amalina turut berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan.
Tambahnya, Ainul kini dipantau selepas pembedahan dan dia dalam keadaan stabil.
“Saya tidak dapat mengawal emosi sebaik keluar dari bilik pembedahan dan melihat ibu bapa Ainul. Perasaan saya bercampur-baur, satu perjalanan yang cukup emosi dan menggembirakan pada masa sama.
“Doakan untuk Ainul sembuh. Terima kasih di atas doa anda,” katanya yang menganggap Ainul seperti keluarganya sendiri.
Leave a Reply