SEHINGGA kini, masih ramai yang menggunakan putik kapas untuk mencuci telinga. Sama ada tidak tahu dengan risiko penggunaannya ataupun tidak endah, tiada siapa yang tahu.

Namun, kisah yang menimpa seorang lelaki seperti yang dilaporkan oleh Dailymail ini mungkin sedikit sebanyak boleh dijadikan pengajaran.

Menurut akhbar berkenaan, sepasukan anggota paramedik yang bergegas bagi menyelamatkan seorang lelaki yang jatuh pengsan ternyata keliru dengan keadaan tersebut.

Baru berusia 31 tahun, lelaki tersebut tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda telah terkena serangan sawan serta sakit kepala yang teruk sebelum tidak sedarkan diri. Mangsa juga dilaporkan hilang ingatan dan tidak mengenali mereka yang berada di sekelilingnya.

Selepas dikejarkan ke unit kecemasan di sebuah hospital, mangsa kemudian dengan segera dibawa menjalani ujian imbasan sebelum menemui jawapan, dua abses pada bahagian otaknya dipenuhi nanah.

Puncanya kerana terdapat cebisan putik kapas yang digunakan untuk mencuci telinga tersangkut pada bahagian dalam organ belah kiri tersebut.

Putik kapas itu kemudian menjadi punca necrotising otitis externa, iaitu satu jangkitan bakteria yang bermula daripada bahagian salur telinga sebelum merebak pada bahagian tengkorak muka dan merosakkan bagian tulang.

Akibatnya, saraf pada bahagian muka boleh terjejas dan mengakibatkan keadaan seperti strok. Seringkali menyerang warga emas dan mereka dengan sistem imun lemah, biarpun jarang-jarang berlaku namun boleh membawa maut.

Tragedi yang menimpa lelaki tersebut turut dimasukan dalam laporan BMJ Case Report Mac lepas, bagaimanapun pesakit sendiri tidak menyedari bagaimanakah putik kapas tersebut boleh berada dalam telinganya.

Namun lelaki berkenaan ada memberitahu doktor bahawa dia mengalami masalah pendengaran yang semakin merosot dan kesakitan melampau sejak lima tahun lalu.

Putik kapas tersebut terpaksa dibuang dengan pesakit berada dalam keadaan anaesthetic. Pesakit berjaya sembuh namun perlu terlebih dahulu menjalani rawatan rapi dan panjang selama lapan bulan. Sejak kejadian itu, pesakit berkenaan berikrar tidak menggunakan putik kapas lagi untuk mencuci telinga.

Dalam keadaan paling ekstrem, putik kapas juga boleh menjadi punca kepada masalah telinga yang lain seperti jangkitan kuman, merosakkan bahagian dalam telinga serta gegendang dan masalah tinitus.

Malah, untuk pengetahuan anda, syarikat pengeluar putik kapas sendiri tidak menggalakan para penggunanya untuk menggunakan produk tersebut bagi mencucui telinga, malangnya masih ramai yang berbuat demikian.

Sumber: Dailymail

Loading...