Bukan sekadar blog

Berita Utama

Dibuang anak sendiri, 2 warga ini habiskan sisa hidup di rumah orang-orang tua

KUANTAN: “Tidak ada apa yang saya harapkan daripada anak-anak selepas dibuang mereka. Cuma, saya harapkan sisa hidup saya dapat dihabiskan di sini,” kata Mansor Abdullah, 72, yang hidup sebagai gelandangan lebih dua tahun di sekitar daerah ini.

Namun, nasibnya kini sedikit terbela apabila diambil insan prihatin daripada Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai, di sini, sejak setahun lalu.

Menyingkap kisah perjalanan hidupnya sebagai gelandangan, Mansor yang berasal dari Padang Serai, Kedah, berkata dia berhijrah dari satu negeri ke negeri lain sehingga ke Kuantan, selepas berpisah dengan isterinya dan dibuang dua anaknya.

“Selepas kemalangan motosikal pada tahun 2003, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Lunas, Kedah. Ketika itu saya sudah berpisah dengan isteri, manakala, anak-anak tidak dapat menerima saya kerana penceraian. Malah, adik-beradik pun tidak dapat terima saya disebabkan harta.

“Kemudian, saya berhijrah ke Ipoh selepas kontrak saya di Lunas ditamatkan. Saya bekerja di sebuah syarikat sebagai pengawal keselamatan sebelum kontrak saya tidak lagi disambung kerana sudah berusia 60 tahun,” katanya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Mansor berhijrah pula ke Kota Baharu, Kelantan, bagi mencari pekerjaan namun nasib tidak menyebelahinya kerana faktor usia sebelum ke Kuala Terengganu, Terengganu dan diterima bekerja sebagai tukang cuci di stesen bas.

Dia kemudian ke Kuantan bagi mencari kehidupan yang lebih selesa namun sebaliknya berlaku apabila terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan lebih dua tahun di sekitar stesen bas Kuantan.

Loading...

“Alhamdulillah, selepas diambil menetap di rumah ini, keadaan saya agak terurus dengan adanya rakan-rakan serta tidak berasa sunyi. Hari raya tidak ada apa-apa makna buat saya, cukup sekadar ada rakan-rakan di sini.

“Saya selesa tinggal di sini dan tidak mengharapkan anak-anak untuk datang ambil saya kembali kerana sudah 17 tahun terputus hubungan dan mereka pun sudah berkeluarga,” katanya.

Dikurniakan sepasang cahaya mata, Mansor berkata, anak perempuan sulungnya seorang guru dan menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, manakala anak lelakinya tinggal di Kota Baharu, Kelantan.

Nasib sama turut dilalui warga emas berusia 66 tahun yang mahu dikenali sebagai Pak Hassan yang turut menetap di rumah terbabit hampir dua tahun.

Selama 17 tahun menjalani kehidupan sebagai gelandangan, Pak Hassan berhijrah daripada kampung halamannya di Kulim, Kedah ke ibu negara sebelum berpindah ke Kuantan selepas dibuang keluarga.

“Selama saya menjadi gelandangan, banyak kerja yang saya buat seperti mengelap kereta. tiga puluh tahun lalu, saya bekerja sebagai pemandu lori kilang getah di Kulim. Selepas kilang terbabit tutup, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang.

“Disebabkan ada masalah dengan keluarga dan anak-anak tidak dapat menerima saya, lalu saya berhijrah ke Kuala Lumpur menjadi gelandangan selama empat tahun sebelum sampai di sini,” katanya.

Mengakui, kehidupan sebagai gelandangan tidak begitu menyulitkan memandangkan sikap rakyat Malaysia yang begitu pemurah dari segi sumbangan makanan dan pakaian.

“Cuma, kalau tidur saya akan jadikan stesen bas sebagai tempat berehat. Setiap kali Ramadan di sini (Kuantan) tidak ada masalah kerana banyak masjid menyediakan juadah berbuka.

“Alhamdulillah, sejak tinggal di rumah ini saya berasa lebih selamat dan tenang dengan adanya rakan-rakan serta banyak aktiviti dilakukan untuk penghuni,” katanya.

Mempunyai dua cahaya mata, Pak Hassan berkata, selepas meninggalkan keluarga ketika berusia sekitar 40 tahun, dia tidak lagi berhubung dengan mereka.

Dia mendakwa anak-anaknya juga tidak mencarinya dan mengharapkan Syawal kali ini akan memberi sinar baharu kepadanya.

“Saya dapat tahu isteri saya masih berada di Kulim. Cuma, selepas terputus hubungan dengan mereka, saya tidak lagi ada keluarga. Di sinilah keluarga saya,” katanya.

Loading...

Leave a Reply