Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Daddy saya lebih hebat dan garang bila dicabar’ – Mukhriz

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad akan menjadi lebih hebat dan garang apabila dicabar, kata Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, usaha pihak tertentu memburukkan Pakatan Harapan (PH) dalam isu meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak akan sesekali melemahkan kerajaan pimpinan bapanya itu.

Sebaliknya ia akan menjadi sumber kekuatan kepada barisan kepemimpinan PH, katanya.

“Siapa tak kenal (Tun) Mahathir, beliau seorang yang pantang dicabar, dalam keadaan tercabar beliau akan lebih hebat dan garang.

“Hasrat pihak tertentu untuk jatuhkan beliau sebenarnya tidak akan melemahkan beliau dan juga PH, sebaliknya akan menyatu padukan kami untuk terus memberi sokongan kepada beliau,” katanya di Alor Setar seperti dilaporkan Berita Harian.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom.

Menurut Mahathir, keputusan itu dibuat berikutan kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak dan bukan disebabkan statut itu membahayakan negara.

Sebelum itu beberapa pihak mengkritik langkah kerajaan yang mahu menandatangani treati berkenaan, terutama daripada Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail mendakwa Statut Rom yang mentadbir ICC dalam mengendalikan kes jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan pencerobohan akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, orang Melayu dan Islam.

‘Akan terus fahamkan rakyat’

Sementara itu Mukhriz berkata, sebagai seorang anak dan juga antara pemimpin PH, beliau akan terus menyokong segala keputusan yang dilakukan Mahathir termasuk dalam isu berkenaan.

Beliau yakin perdana menteri tidak pernah gentar dengan tohmahan pihak tertentu kerana beliau mengenali bapanya itu dengan sifat yang kuat semangat.

Mukhriz berkata, kerajaan akan terus komited untuk memberi pemahaman kepada rakyat mengenai Statut Rom dan kepentingan menandatanganinya.

Katanya, rakyat sebenarnya tidak perlu takut dengan perjanjian itu kerana ia tidak akan menjejaskan kedaulatan negara mahupun kedudukan raja-raja Melayu.

“Statut Rom ini adalah perkara yang baik tetapi buat masa ini kita tarik balik, kita akan beri pemahaman kepada rakyat dulu.

“Selepas ini rakyat akan tahu keadaan sebenar dan faham apa perkara yang baik dalam Statut Rom,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén